Forum Buku

Dalam penciptaan karya sastera sering dirasakan sebagai satu proses pengalaman yang bertitik tolak dari pengalaman yang pahit, bobot dan tekanan, seksaan dan kekecewaan. Tetapi proses itu bergerak maju juga dengan segala keperitannya sehingga akhirnya terbuahlah hasil dari keperitan itu... inilah barangkali nikmat dan puasnya menjadi sasterawan. Ada kesenangan dalam kepayahan. Ada nikmat dalam kegeloraan. Sasterwan Negara, Shahnon Ahmad: Seketul Hati seorang Pemimpim (1989:xiii)

Tuesday, December 19, 2006

Baca & buat penilaian BUKAN buat penilaian sebelum baca....

Sila baca dan hayati petikan yang berunsur riak dan angkuh yang ditulis oleh seorang penulis yang agak terkenal di Malaysia.

Bagaimana mengenal novel yang tidak berkhasiat?

Oleh : Faisal Tehrani

“Pertengahan Disember ini, kepimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka denga rakusnya menganjurkan seminar novel popular yang bertujuan untuk mengangkat karya pop dan mengiktirafnya dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) kelak. Tidak pernah ada usaha untuk menyamaratakan novel pop dengan novel dari lapangan kesusateraan (sesetengah menggunakan persuratan) kecuali di Malaysia. Idea-idea sesat dan membingungkan ini berbumbu kepada fahaman liberalisme iaitu ‘apa sahaja sama’. Konsep ‘apa sahaja sama’ itu sendiri sudah tidak munasabah dan tidak lojik.

Sebelum fikiran kita dikelabukan oleh sekumpulan sarjana sastera yang berkampung dan rela menghumbankan kebenaran demi untuk memenuhi matlamat hodoh penganjur, elooklah kita awal-awal membenteng diri kita dengan persoalan ini.”

Bicara FB :

Apa yang ditulis oleh penulis terkenal itu terlalu panjang, saya sekadar ambil kepalanya saja. Tujuannya? Untuk membuka mata para pembaca bahawa penulis ini seorang yang angkuh berdasarkan hasil tulisannya itu. Untuk lebih lanjut, pembaca boleh baca sendiri di blog penulis berkenaan – http://tehranifaisal.blogspot.com (sekiranya artikel itu masih ada).

Apa yang ingin saya soalkan ialah salahkah pihak DBP sekiranya mereka ingin mengiktiraf karya pop [seperti yang diutarakan oleh Faisal Tehrani (FT)] sebagai bahan karya sastera? Apa masalahnya? Adakah kerana karya-karya pop itu terlalu popular dan telah menenggelamkan karya-karya sastera yang dihasilkan oleh penulis sastera termasuk FT maka FT bertindak mengeluarkan kenyataan begitu kepada sebuah akhbar? Sebagai seorang penulis yang telah lama bergiat dalam bidang penulisan sastera, saya rasa FT tidak sepatutnya berfikiran cetek. FT sepatutnya lebih terbuka dan memberi sokongan kepada pihak DBP yang ingin mengiktiraf karya pop sebagai karya yang boleh disenaraikan ke dalam senarai HSPM bukannya menghentam dan menikam dari belakang. Kenapa FT memandang karya pop itu sebagai sebuah karya yang tidak bagus? Lupakah FT bahawa karya beliau juga pernah diterbitkan oleh sebuah penerbitan yang lebih menumpukan kepada penerbitan karya-karya pop? Kalau FT lupa saya boleh nyatakan di sini. Selain karya-karya FT yang kononnya ada nilai sastera dan diiktiraf oleh DBP dan sebagainya FT juga pernah menghasilkan karya pop : Cinta Hari-Hari Rusuhan diterbitkan oleh CESB yang saya pasti CESB lebih banyak menerbitkan karya-karya pop berbanding sastera tulen.

Pada pandangan saya, usaha pihak DBP hendak mengiktiraf karya pop (seperti yg dikatakan oleh FT) dan membawa masuk ke senarai HSPM adalah satu usaha yang baik. Ini secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada penulis baru dan penulis karya pop atau popular untuk menulis dan mengeluarkan karya yang lebih baik dan bagus. Saya tidak melihat usaha DBP itu sebagai satu kesalahan. Sewajarnya sesebuah karya itu baik pop atau sebaliknya diberi pengiktirafan sekiranya ia menepati ciri dan kualiti yang ditentukan. Tiada siapa boleh menidakkan kebenaran tersebut.

Memang bagus adanya persaingan antara novel serius dan novel pop ini kerana bukan semua orang terutama orang-orang di Malaysia yang ingin membaca novel-novel serius atau karya sastera yang berat-berat kerana orang membaca untuk merehatkan minda. Apa gunanya membaca novel sekiranya minda kita perlu berfikir untuk menyelesaikan konflik yang timbul.

Saya rasa FT tak pernah baca karya pop yang ada di Malaysia ni. Cuba saudara FT baca dan selami ada yang terkandung di dalamnya…ketika itu barulah saudara tahu jika karya itu ada makna atau tidak membawa apa-apa makna. Mungkin FT rasa karyanya lebih bagus dari orang lain tapi tolonglah…jangan membuat sebarang penilaian tanpa membaca dan meneliti sesuatu karya itu terlebih dahulu. Seperti juga saudara, penulis-penulis karya pop juga perlu berfikir, memerah idea untuk menyiapkan sesebuah karya, bukannya dengan petik jari semua dah terjadi. Tidak salah jika saudara ingin mengkritik tapi biarlah berpada kerana pada saya saudara juga penulis muda/junior. Ramai penulis senior yang menghasilkan karya pop tetapi mereka tidak sebongkak dan riak seperti anda….

Monday, November 06, 2006

Di manakah Letaknya Kebebasan dan Kepuasan Sebagai Penulis

Ketemu kembali...

saya tertarik dengan komen mengenai kebebasan menulis. Teringat saya kepada satu pepatah lama yang menyebut: 'Mata pena adalah lebih tajam daripada mata pedang' jadi saudara saudari bayangkan betapa pentingnya penulisan dalam hidup kita. Penulisan boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan bergantung kepada penerimaan setiap individu.

Jika ditanya kepada saya dimanakah letaknya kepuasan sebagai pembaca mungkin saya boleh menjawapnya secara spontan. Tetapi jika ditanya tentang dimanakah letaknya kebebasan dan kepuasan sebagai penulis mungkin saya terpinga-pinga seketika. Ya dimanakah letaknya perkara itu? seharian saya berfikir... akhirnya saya berpendapat Kebebasan melahirkan pendapat adalah satu kepuasan. Kita bebas melahirkan idea, bukankah kita ini hidup di negara demokrasi. Kita diberikan banyak ruang dalam melahirkan pendapat; di ruangan media elektronik, cetak, internet dan sebagainya. Melahirkan pendapat juga merupakan salah satu daripada elemen di mana kita boleh berkongsi informasi dan idea.


Sekiranya kebebasan melahirkan pendapat dan kebebasan menulis disekat, pemikiran manusia tidak akan kemana dan hanya tinggal begitu sahaja. pernahkah anda terfikir sekiranya sekatan ini dikenakan keatas seluruh masyarakat sudah pastilah institusi masyarakat akan lumpuh dan tidak berkembang. kebebasan melahirkan pendapat ini banyak bersangkutan dengan kreativiti. Masyarakat yang mempunyai kebebasan ini sebenarnya mampu melahirkan individu yang kreatif. Dari kreativiti ini, satu-satu masyarakat itu akan mampu berkembang dan berdaya saing serta maju.


Dari satu sudut yang lain pula, kebebasan menulis kadang kala di salah ertikan. Mungkin pada penulis, ketelusan pendapatnya itu dapat memberi manfaat kepada orang lain. Tetapi tidak semua orang boleh menerima setiap sesuatu itu dari sudut yang positif.

Pada pandangan saya sebagai salah seorang penulis di dalam forum ini berpendapat kejujuran dan keikhlasan dalam menulis adalah amat penting. Mungkin di situ letaknya kepuasan... hasil tulisan yang jujur dan menjadi tatapan umum itulah kepuasannya. Saya puas sekali jika saya berjaya menyuarakan pendapat saya. Bagaimana pula dengan penulis novel? tentu kepuasannya juga berbeza... setiap genre penulisan itu berbeza sekali rasa kepuasannya. Menulis di blog seperti forum ini berbeza kepuasannya. Menulis di surat khabar juga berbeza kepuasannya. Menulis novel juga berbeza kepuasannya. Ingin sekali saya berkongsi nikmat kepuasan penulis novel dan juga enovel... mungkin anda ingin berkongsi rasa kepuasan itu? silalah tingalkan komen anda di sini atau juga boleh emailkan kepada saya di forumbuku@hotmail.com

Friday, October 27, 2006

E-Novel? Kebaikan dan Keburukan...

Kali ini saya ingin mengajak saudara dan saudari pelayar blog Forum Buku ini membaca tentang E-Novel. Mungkin ada di kalangan kita mula perasan bahawa kewujudan blog E-Novel sudah tidak boleh dipandang sepi lagi. Mereka bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan, semakin lama semakin banyak dan semakin memeriahkan industri penulisan ini. Banyak blog E-Novel yang saya layari dan baca malah ada sesetengah blog E-Novel ini menjadi kegemaran saya dan sentiasa teruja untuk membaca setiap episod.

Ruginya mereka kerana membiarkan hasil kreativiti mereka menjadi bahan bacaan ramai. itulah yang terdetik di hati saya ketika pertama kali berjumpa dengan blog sebegini. Kita tidak tahu siapa yang menjadi lawan dan siapa yang menjadi kawan di alam maya ini, manalah tahu mungkin ada di antara pembaca di luar sana yang menjadi penciplak.

Mari kita lihat apakah yang kebaikan dan keburukan daripada kewujudan E-Novel di internet.

Kebaikan?

>> Saya merasakan E-Novel adalah platform terbaik buat penulis muda atau penulis baru untuk mencari tapak dan nama.

>> Blog boleh dikatakan sebagai salah satu daripada promosi percuma yang menguntungkan. Tanpa perlu membayar apa-apa.

>> E-Novel di internet boleh dikatakan sebagai satu cara di mana penulis boleh membentuk peminat dan komuniti mereka sendiri.

>> Ruang untuk berkongsi pendapat dan idea sebelum sesuatu cerita atau karya itu di pindahkan ke dalam bentuk manuskrip. Sekurang-kurangnya penulis dapat meneka kehendak dan kemahuan pembaca secara lebih tepat.


Keburukan?

>> Ramai penulis E-Novel membiarkan karya mereka tanpa ada inisiatif untuk mengeluarkannya ke dalam bentuk cetakan.

>> Kebarangkalian untuk hasil karya diciplak adalah amat tinggi

>> E-Novel yang dikeluarkan oleh para penulis E-Novel kadang-kala tidak bermutu kerana ia tidak di periksa oleh mana-mana editor yang bertauliah

Ini hanyalah sebahagian rumusan yang saya buat secara rambang, kesibukan dan tuntutan kerja tidak memungkinkan saya melakukan banyak kajian secara terperinci.

Telah lama saya ingin menyuarakan suara hati saya, tidak adakah penerbit di luar sana yang ingin memberi peluang kepada penulis blog E-Novel menerbitkan novel mereka. Tidakkah boss-boss besar/ ketua editor syarikat penerbitan besar/ kecil di luar sana yang ingin menerbitkan karya penulis E-Novel ini. Sebenarnya jika anda hendak tahu, ada segelintir penulis E-Novel mampu menulis lebih baik daripada penulis yang punya novel berderet di kedai. Saya yakin anda juga setuju dengan pendapat saya ini.

Tuesday, October 10, 2006

IDENTITI FORUM BUKU

Untuk pembaca dan pelayar blog Forum Buku ini kami ucapkan ribuan terima kasih kerana kesudian anda semua melayari blog yang tidak seberapa ini - serba ringkas. Pertama kali blog ini dibina bersama visi kami sendiri. Entri pertama kami ialah novel Getaran Rindu hasil tulisan Norzailina Nordin. Sejak kebelakangan ini, ramai sungguh yang tertanya-tanya siapakah forum buku? hari ini akan menjawab segala-galanya - harap bersabar.

Visi atau tujuan kami ialah untuk berdiskusi mengenai kelainan yang terdapat di dalam sesuatu karya atau buku. kami tidak mahu bersikap bias atau berat sebelah ketika memberi sebarang komen. Kenapa kami kata begini? Kerana lebih mudah untuk bersikap terbuka tanpa mengira kenalan atau idola. Sebenarnya telah banyak kami lihat di blog pengulas buku atau novel yang kadang kala memuji melampau-lampau - walau pun sebenarnya karya itu tidaklah sebagus mana. Pujian yang melampau itu adalah kerana penulis adalah kenalan rapat atau pun idola mereka. Bukankah ini tidak bagus bagi penulis. Saya kira penulis harus mengetahui realiti sebenar tentang karya mereka.


Sekarang marilah kita lihat indentiti forum buku:-


FORUM BUKU 1
Nama: Zubaidah (Zu)
Jantina: Perempuan
Usia: 32 tahun
Pendidikan: Bachelor of Science, Bemidji State University, Minnesota USA
Pekerjaan: Sektor swasta - R & D
Lokasi: Utara tanah air
Minat: membaca, membeli belah
Tempat kegemaran: Kinokuniya KLCC, The Border Time Square
Entri individu: Getaran Rindu, ... dan Mimpipun Bersatu, Tiada lagi cinta,
Entri bersama: Tanpamu Di sisi, Penerbit dan Pasaran


FORUM BUKU 2
Nama: Hartini (Tini)
Jantina: Perempuan
Usia: 33 tahun
Pendidikan: Bachelor of Science, Bemidji State University, Minnesota USA
Pekerjaan: Sektor Awam - Professional
Lokasi: Selatan tanah air
Minat: Melayari internet, membaca
Tempat kegemaran: MPH book store
Entri individu: Bila Cinta Membara, Duri, Mencari Kekasih
Entri bersama: Tanpamu Di sisi, Penerbit dan Pasaran


Di harap dengan kehadiran entri ini akan menjawab segala persoalan dan juga dapat memuaskan hati semua pelayar blog.


Sekian, terima kasih.
Forum buku

Thursday, October 05, 2006

PENERBIT DAN PASARAN

Di dalam pasaran penerbitan yang ada di negara kita ini. Penerbit kecil-kecilan di beri istilah sebagai penerbit bebas atau pun independent publisher. Mereka ini merupakan penerbit yang dimiliki oleh orang perseorangan dan tidak dimiliki oleh syarikat induk korporat besar. Apabila disebut saja syarikat penerbitan, secara tidak langsung kita akan teringatkan 3 syarikat penerbitan besar iaitu DBP, Creative Enterprise dan Alaf 21. DBP boleh dikatakan agak berjaya disebabkan ia adalah jabatan kerajaan. Tetapi bagaimanakah pula dengan Creative dan Alaf21 berjaya? Adakah sesuatu yang dapat kita pelajari dan jadikan contoh disebabkan kedua-duanya telah berjaya membuktikan novel Melayu laku dijual.

Selepas Creative berjaya membuka pasaran novel Melayu, barulah Alaf21 masuk. Kemudian penerbit besar lain ikut masuk, iaitu Utusan, Rythm dan Times. Daripada nama-nama itu, hanya Creative sahaja merupakan penerbit independent. Yang lain adalah anak-anak syarikat milik penuh syarikat induk. Creative dan Alaf21 berjaya di mana DBP gagal. Kedua-duanya berjaya membuka pasaran baru dengan cara memfokuskan produk mereka secara bertubi-tubi dan konsisten selama bertahun-tahun. Creative menumpukan penerbitannya pada kategori sastera popular, manakala Alaf21 menumpukan pada kategori novel cinta remaja. Jelaslah, walaupun Creative dan Alaf21 sama-sama menerbitkan novel, tetapi sebenarnya Creative dan Alaf21 tidak bersaing kerana masing-masing menjual produk yang berbeza kepada sektor pembaca yang berbeza.Dengan fokus serta ketekunan yang mereka amalkan, akhirnya Creative dan Alaf21 berjaya menjadi 'market leader' bagi sektor masing-masing. Begitu kukuh dan kuatnya kedudukan kedua-dua penerbit itu sehingga mereka dapat memaksa para pengedar dan peruncit membeli tunai novel-novel mereka!

Utusan, Rythm dan Times cuba masuk ke dalam pasaran di mana Creative dan Alaf21 sudah menjadi market leader-nya. Mereka tidak masuk dengan menawarkan konsep produk baru. Mereka hanya menjadi 'me-too player'. Terbukti, selepas hampir 10 tahun, mereka tidak dapat mengatasi kejayaan Creative dan Alaf21. Sebagai pemain ikut-ikutan, para pembaca novel cinta Melayu mempunyai persepsi bahawa Utusan, Rythm dan Times hanya dapat menerbitkan novel-novel cinta yang sudah ditolak oleh Creative dan Alaf21. Inilah cabaran utama bagi Utusan, Ryhtm dan Times, yakni bagaimana mereka mahu membuang persepsi negatif itu daripada minda pasaran.
Bagaimana pula dengan KakiNovel, KarnaDya, Media Intens dan NB Kara yang masing-masing dimiliki oleh bekas-bekas orang Creative dan Alaf21? Apakah cabaran utama mereka? Cabaran utama mereka adalah isu-isu rutin apabila memulakan bisnes baru sebagai penerbit independent dalam sektor yang sudah ada pemimpin pasarannya, iaitu sektor novel cinta. Sebagaimana yang dilakukan oleh Utusan, Rythm dan Times, empat nama baru itu mengambil posisi sebagai 'me-too player', tanpa menawarkan konsep produk baru.
Selagi Norhayati Berahim, Fauziah Ashari dan Aina Emir hanya menerbitkan karya mereka sendiri, cabarannya tidak besar. Mereka tidak perlu mengambil kira jumlah royalti mahupun jadual pembayaran royalti yang mereka bayar kepada diri mereka sendiri. Tetapi apabila mereka mula menerbitkan karya pengarang-pengarang lain, ekonominya sangat berbeza, di peringkat inilah mereka harus memainkan peranan yang penting bagi memastikan syarikat penerbitan mereka dan juga penulis di bawah jenama mereka terus diterima.

Cabaran kedua yang besar adalah harga jualan novel cinta yang sudah bertahun-tahun dimapankan oleh Creative dan Alaf21. Pembeli novel-novel cinta Alaf21 sudah terbiasa membeli novel Alaf21 pada harga yang 'amat murah'. Alaf21 dapat menjual novel setebal 600 halaman pada harga RM16! Ini dapat dilakukan kerana Alaf21 adalah anak syarikat Kumpulan Karangkraf, yang merupakan pencetak terbesar Bumiputera di negara ini! Dengan mencetak sendiri novel-novel terbitannya, Alaf21 dapat mengawal kos percetakan dengan efektif sekali. Mana-mana penerbit yang tidak memiliki percetakannya sendiri tidak dapat menjual novel-novel cintanya pada harga Alaf21. Bagaimanakah KakiNovel, NB Kara, Media Intens dan KarnaDya dapat mengatasi isu harga jualan novel-novel mereka? apabila pada waktu yang sama mereka juga perlu membayar royalti kepada penulis, ini persoalan yang akan menentukan kejayaan mereka bersaing dengan Alaf21.
Apakah pula cabaran yang dihadapi oleh Alaf21? Jika Alaf21 hanya bersaing dengan 2 ataupun 3 penerbit ikut-ikutan, Alaf21 dapat kekal menang. Tetapi jika dalam pasaran sudah ada 10 ataupun 12 penerbit ikut-ikutan, cabaran bagi Alaf21 untuk mengekalkan prestasinya sekarang tidaklah mudah lagi. Satu orang kuat bertumbuk melawan 3 orang lemah, ya, masih ok. Tetapi kalau sudah melawan 12 orang lemah, belum tentu ok. (Angka hanyalah sebagai andaian sahaja.
Entry ini saya petik dari salah satu blog yang saya layari - maaf kepada tuan punya blog tersebut kerana saya benar-benar lupa URL anda.


Tuesday, September 19, 2006

Tanpamu Di sisi

Tajuk: Tanpamu Di sisi
Penulis: Puteri Andalas
Terbitan: Kaki Novel
Harga: RM18
Andainya Kutahu ialah karya pertama beliau yang saya baca, (Di keluarkan pada tahun 2004 dan saya beli pada tahun 2006 - masih dengan cetakan pertama - mengapa ya sebegini lembab penjualannya? seharusnya penulis terkenal seperti beliau boleh menjual sesuatu karya seperti goreng pisang panas). Plot ceritanya mengisahkan tentang cinta di antara sepupu, (Sali dan Sunny). Cerita yang biasa pada fikiran saya. Kenapa saya kata biasa? Kerana ia gagal membuatkan saya teruja untuk membacanya hingga ke muka surat yang terakhir - maaf, banyak yang saya langkau. Adakah ini yang dikatakan sebagai karya penulis terbaik?

Karya seterusnya ialah Tanpamu di sisi. Apa yang menariknya karya beliau kali ini? Apa yang istimewanya? Di ruang akhbar dan internet memaparkan tentang karya beliau kali ini. Hati saya tertanya-tanya, apa yang menariknya karya beliau kali ini sehingga mendapat liputan sebegini? Oleh itu saya ingin membawa pembaca sekalian untuk berbicara soal tema, gaya bahasa dan plot.

Tema, masih lagi memaparkan tentang kisah cinta di antara sepupu. (Saya hanya membuat rumusan berdasarkan kepada 2 novel sahaja).

Gaya bahasa, penulis nampaknya terlalu berbangga dengan pengunaan bahasa ingeris. Mungkin beliau lupa agaknya ketika itu sedang menulis novel melayu. Pada saya mudah sahaja, jika hendak menulis karya yang berbahasa melayu maka angkatlah bahasa melayu itu sendiri. Jika hendak melebihkan pengunaan bahasa ingeris tulislah novel ingeris.
Saya kira penulis terlupa Bahasa Melambangkan Bangsa.

Plot, cerita ini tidak berjaya membawa saya kepada kemuncak atau lebih mudah plot cerita ini agak lembab. Mungkin kerana dari muka surat pertama saya sudah dapat mengagak kesudahan plot cerita ini. Sebenarnya cerita ini punya susunan peristiwa yang agak baik tetapi malangnya penulis tidak mengupas setiap plot itu dengan baik. Menjadi kepantangan saya sebenarnya membaca karya yang tidak disampaikan sepenuhnya atau dalam bahasa yang lebih mudah, baru nak menghayati sudah kena potong.

Di manakah keistimewaan karya kali ini? Bukankah setiap karya baru yang dihasilkan oleh setiap penulis itu harus ada bezanya -
tak kanlah puan Puteri Andalas menjual novelnya berdasarkan kepada populariti atau namanya yang sudah terkenal?

Kita berhenti setakat ini dahulu kerana saya mahu membawa anda membaca sedikit kertas kerja yang bertajuk PENERAPAN TATABAHASA DALAM KARYA KREATIF. Kertas kerja ini pernah dibentangkan di Universiti Islam Antarabangsa beberapa tahun dahulu (mungkin sekitar 90-an) - Nama pembentangnya terpaksa saya lindungi.

Menurut kerta kerja ini, tatabahasa adalah satu aspek ilmu bahasa yang perlu dikuasai oleh para penulis (penulis baru, lama, terkenal atau tidak terkenal). Ini kerana dalam tatabahasa terdapatnya aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.

Fonologi - bidang yang berhubungan dengan sistem bunyi sesuatu bahasa
Morfologi - bidang yang berhubungan dengan pembentukan kata
Sintaksis - bidang yang berhubungan dengan Pembentukan ayat
Semantik - bidang yang berhubungan dengan makna

Berdasarkan buku rujukan tulisan Othman Puteh yang bertajuk Penulisan Novel. Novel sebagai satu ragam kesusasteraan mempunyai polanya yang tertentu dan sering ditemui di dalam setiap karya. Berikut ialah pola penulisan kreatif yang telah saya ringkaskan.

Awal

1. Dedahan (Exposition)

2. Ransangan (Inciting moment)

3. Aksi Menanjak (Rising action)


Tengah

1. Pertikaian (Conflict)

2. Kerumitan (Complication)

3. Klimaks (Climac)


Akhir

1. Peleraian (Falling action)

2. Penyelesaian (Denounement)

Sasterawan negara Shahnon Ahmad ada menyatakan dalam "Sebuah Pengantar Menyorot Diri" kumpulan cerpennya yang bertajuk Seketul Hati seorang Pemimpim (1989:xiii) menegaskan:-

Dalam penciptaan karya sastera sering dirasakan sebagai satu proses pengalaman yang bertitik tolak dari pengalaman yang pahit, bobot dan tekanan, seksaan dan kekecewaan. Tetapi proses itu bergerak maju juga dengan segala keperitannya sehingga akhirnya terbuahlah hasil dari keperitan itu... inilah barangkali nikmat dan puasnya menjadi sasterawan. Ada kesenangan dalam kepayahan. Ada nikmat dalam kegeloraan.

Di sini saya ada beberapa buah buku yang boleh dijadikan rujukan untuk para penulis terutamanya yang baru berjinak dengan dunia penulisa.

1. A. Samad Ismail, 1966. Mengasah Bakat (Malaysia - Pustaka Melayu Baru).
2. Doubtfire, Dianne, 1989. The Craft of Novel writing (London - Allison and Bushy).
3. Kitchen, Paddy, 1981. The Way To Write Novels (London - Elm Tree Books).
4. Othman Puteh (Peny.), 1991. Proses Penciptaan: Menulis Untuk Remaja (Malaysia - DBP).
5. Ziegler, Isabelle, 1975. The Creative Writer's Handbook (New York - Barnes and Noble Books).


Kesimpulan yang dapat saya rumuskan di sini ialah, usia bukanlah masalah utama atau penghalang untuk menulis dan berkarya (tidak kiralah novel cinta atau pun kemasyarakatan). Buat puan Puteri Andalas yang saya hormati, bukan mudah sebenarnya hendak menulis novel cinta remaja jika sudah berusia sebegini. Walau pun mungkin puan akan kata puan berjiwa muda. Sebagai golongan yang masih muda saya mohon maaf kiranya kata-kata saya agak melampau tetapi naluri ke'muda'an yang ada dalam jiwa puan tidak menepati jiwa dan citarasa golongan remaja seperti saya. Saya ingin syorkan puan membaca buku rujukan tulisan Othman Puteh (peny.) 1991. Proses Penciptaan: Menulis Untuk Remaja. (Keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka).Saya amat berharap puan Puteri Andalas dapat melahirkan karya yang lebih berkesan dan sesuai dengan jiwa dan usia puan. Tepuklah dada tanyalah hati puan... hasilkanlah sesuatu karya yang benar-benar ikhlas di hati anda sendiri - bukan hanya sekadar mengikut orang lain yang menghasilkan karya seperti itu maka anda juga ingin melakukan perkara yang sama.

Sunday, August 27, 2006

Bila Cinta Membara

Tajuk : Bila Cinta Membara
Penulis : Mazia Harris
Terbitan : Alaf21 Sdn. Bhd.
Harga : RM 19.90

BILA CINTA MEMBARA…
hanya Allah yang menentukan segala-galanya.

Novel ini mengisahkan seorang anggota polis (Kamarul) yang berkahwin dengan seorang model (Syamsidar). Pada mulanya hidup mereka bahagia tapi secara tiba-tiba isterinya berubah laku setelah suami memberi keizinan kepadanya untuk kembali bergiat aktif dalam bidang peragaan. Si suami akhirnya melafazkan talak setelah mengetahui isterinya curang. Si isteri menyesal namun sesal kemudian tiada gunanya kerana kasih suami telah beralih setelah talak dilafazkan.

Ketika membaca bab pertama buku ini, saya begitu teruja untuk menghabiskannya namun begitu, keterujaan saya menurun sebaik saja saya memasuki bab kedua. Jalan ceritanya agak menarik tetapi pada saya lambat. Sukar untuk saya menjiwai watak-watak dalam novel ini kerana jalan ceritanya yang lambat itu. Ini adalah buku kedua penulis yang saya baca. Saya sangkakan bahawa buku kedua penulis lebih baik dari buku yang pertama namun sangkaan saya meleset kerana buku kedua juga membosankan. Bukan tujuan saya untuk menjatuhkan penulis tetapi itu yang saya alami ketika saya membacanya. Saya tidak mahu membuat ulasan yang palsu kerana tidak mahu peminat novel tertipu dengan kulit buku dan ayat-ayat yang menarik di kulit buku kerana harga sebuah novel bukannya murah jadi rugilah kalau kami membeli tetapi hasilnya tidak memuaskan. Apa yang pasti ini hanyalah pendapat forum buku, mungkin pendapat yang lain berbeza.

Bagaimana pula pendapat anda? Bagi yang telah membaca novel ini kongsikan pendapat dan rasa anda bersama untuk peminat novel lain.